Tuesday, May 24, 2011

ALAM menghidupkan Semula Warisan Maritim Negara

       Oleh Zulkafly Baharuddin
Kami menyedari akan peluang dalam bidang perkapalan bila isteri saya, sebagai pembanci untuk Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010, dapat berinteraksi dengan mereka yang bertugas sebagai pelayar.
Di antaranya beliau menemui satu keluarga dimana ayah dan dua orang anak lelakinya adalah pelayar. Bukan setakat itu sahaja.
Ada seorang pelayar yang bercuti, menunggu kelahiran anak, sempat juga mengisi masa yang terluang dengan menjalankan tugas sebagai pembanci.
Perbincangan mengenai dunia pelayaran ini menjolok tumpuan kami ke arah ALAM kerana nama akademi laut itu sering disebut dalam perbualan.
Kami pun mula membuat penyelidikan terperinci melalui laman-laman sesawang mengenai dunia pelayaran dan maklumat ini kami kongsi dengan Naeem ketika beliau pulang dari asrama pada hujung minggu.
Pada 20 April lalu kami ke Dewan Solaris Akademi Laut Malaysia, yang terletak berhampiran pekan Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, Melaka, bagi mengiringi anak kami yang dijemput ALAM menghadiri ujian dan temuduga sebagai calon pelajar kejuruteraan marin.
Ia merupakan hari yang amat menggembirakan kami sekeluarga kerana dengan izinNya segala perancangan kami selama ini telah dikabulkan.
Sebagai ibu bapa, sememangnya menjadi hasrat kami untuk melihat anak-anak menceburi bidang perkapalan, satu bidang baru bagi keluarga kami.
Lebih menggembirakan bila Naeem menyambut galakan kami itu dengan berusaha untuk mencapai keputusan SPM yang melebihi syarat kelayakan mengikuti pengajian diploma kejuruteraan marin yang ditetapkan ALAM.
Pagi itu kami keluar seawal jam 5 pagi. Selepas menunaikan solat tahajjud yang menjadi kemestian bagi mereka yang berhasrat merapati Maha Pencipta kami bertolak ke ALAM melalui Port Dickson.
Menurut ALAM daripada 1,500 pemohon hanya 750 orang dipanggil untuk ditemuduga yang diadakan selama lima hari di ALAM. Malangnya tidak sampai 400 yang hadir sesi ujian dan temuduga itu.
Jumlah yang diperlukan untuk kemasukan kali ini hanyalah 360 orang termasuk pelajar luar negara terutama dari India dan China.
Mengapa ramai yang menolak peluang untuk berlayar satu karier yang menjanjikan pendapatan tidak kurang RM6,000 sebulan ketika pegawai kadet atau kadet jurutera ini berumur 21 tahun dengan hanya kelulusan diploma sahaja?
Menurut satu sumber di ALAM punca utamanya ialah pendirian ibu bapa yang tidak menggalakkan anak mereka untuk menceburi bidang pelayaran ini.
Sebab? Biasalah orang Melayu kita ini, kata sumber itu. Tidak mahu anak berjauhan dari keluargalah, apa-apa hal susah nak balik ke kampunglah, kenduri-kendara saudara mara kaum keluarga tak dapat hadirlah, di darat ni banyak lagi kerja boleh buat nak buat apa belayar dan sebagainya.
“Kita yang bekerja di darat ‘ni tak balik kampung empat lima bulan pun orang tak kisah,” kata sumber itu, dengan menambah, “belayar pun lebih kurang lama tu.”
Mungkin juga tidak glamour saperti juruterbang pesawat komersial dimana ramai orang yang nampak kesegakan mereka ketika berjalan di ruang legar lapangan terbang menuju ke pesawat atau dari pesawat ke bas yang sedia menunggu mereka untuk di bawa ke hotel.
Pegawai kapal juga segak dengan pakaian seragam mereka tetapi siapa yang nampak. Hanya krew sahajalah.
Mungkin ibu bapa tidak mengetahui bahawa pekerjaan sudah sedia menunggu bagi setiap pelajar ALAM sebaik sahaja merka melapurkan diri pada hari pertama pengajian tiga tahun itu.
Para pegawai ALAM memberitahu bahawa mereka tidak sewenang-wenangnya mengambil sejumlah bilangan pelajar tetapi jumlah yang diambil adalah menurut keperluan industri perkapalan.
Hari ini hanya 60 peratus dari tenaga pelayaran dalam syarikat perkapalan nasional, MISC, misalnya, adalah dari kalangan rakyat tempatan.
Itu merupakan satu jumlah peratusan yang amat membanggakan dan merupakan hasil keputusan kerajaan mewujudkan Pusat Latihan Maritim pada 1977, sembilan tahun selepas wujudnya MISC atau Malaysian International Shipping Corporation.
Tun Dr Mahathir Mohamed sebagai Perdana Menteri pada 1981 pula meningkatkan status pusat latihan itu kepada sebuah akademi dan menamakannya Akademi Laut Malaysia.
Hari ini lebih 10,000 orang pelayar adalah graduan ALAM, mengisi bukan sahaja keperluan syarikat perkapalan nasional tetapi juga memenuhi permintaan antarabangsa.
Manakala MISC pula kini mempunyai lebih100 buah kapal yang berumur kurang dari 10 tahun dengan jumlah berat melebehi 11 juta tan berat mati dan dianggap terulung dalam bidang pengangkutan LNG dunia.
MISC juga adalah empunya ketiga terbesar di dunia dalam armada Aframax (kapal yang kurang dari 120,000 tan metrik berat mati dan lebar melebehi 32.31 meter)
Sudah pasti kapasiti yang besar ini memerlukan ramai tenaga pelayaran yang mahir. Dan dalam menentukan tenaga yang dikeluarkan itu menepati kehendaknya, maka MISC mengambil alih ALAM sebagai anak syarikatnya pada 2006.
Pada pagi Rabu itu, Naeem bersama seramai 84 calon lain serta ibu-bapa diberi taklimat mengenai dunia pelayaran dan MISC sambil menikmati sarapan pagi yang disediakan ALAM.
Calon kemudiannya mula menjalani ujian bagi mengenal pasti sama ada mereka buta warna atau tidak, berat badan dan ketinggian dan mana-mana calon yang gagal menetapi keperluan ini tidak perlu lagi mengambil ujian bertulis bahasa Inggeris, fizik dan matematik selama sejam.
Selepas makan tengahari, juga disediakan ALAM, calon yang lulus ujian diumumkan dan mereka dikumpulkan dalam beberapa kumpulan utuk mengambil ujian standard psikometri yang mengandungi quantitative reasoning, verbal reasoning dan bahasa Inggeris seterusnya dikuti dengan sesi temuduga.
Yang gagal dilepaskan pulang dan digalakan mencuba lagi untuk pengambilan tahun hadapan. Alhamdulillah Naeem berjaya dan kini menunggu kesediaan ALAM untuk memenuhi cita-cita anak muda ini untuk menjalani hidup sebagai seorang pelayar yang mahir dalam bidang kejuruteraan marin.
ZULKIFLY BAHARUDDIN SEORANG WARTAWAN BEBAS DAN PERNAH MENJADI KORESPONDEN BERITA DI WASHINGTON D.C. UNTUK SEBUAH STESEN TV TEMPATAN SELAMA LEBIH 10 TAHUN

No comments:

Post a Comment