Thursday, March 24, 2011

Cara bersih wang haram

Oleh Ustaz Zaharuddin

BERMULA daripada isu sumbangan kerajaan Pulau Pinang kepada beberapa penerima, kelihatan timbul kekeliruan dan keserabutan dalam memahami letak duduk isu wang haram dan sumbangannya kepada pembangunan awam serta fakir dan miskin.
Walaupun isu itu sudah padam dan tenggelam, masih ada kekeliruan belum terjawab, akibatnya mungkin ada yang berkata: “Jika harus diberikan wang haram itu kepada fakir miskin, bolehlah kita teruskan aktiviti haram itu kerana hasilnya masih boleh dimanfaatkan.

“Kerana hukumnya harus, mana-mana kerajaan pun yang naik selepas ini masih boleh membiarkan aktiviti haram.

“Oo... bolehlah kita beri lagi banyak lesen kepada pusat judi, pelacuran dan riba, sebab untung mereka lebih besar dan kemudian kita boleh ambil manfaat daripada harta mereka untuk membiayai fakir miskin dan pembangunan negara.” Itu mungkin persoalan yang terdetik dalam diri pembaca apabila melihat situasi yang berlaku dan jika itulah kefahaman selepas membaca hujah ulama mazhab yang silam dan kontemporari, mereka sebenarnya sungguh terkeliru.
Yang sangat perlu difahami adalah, konteks sebenar yang disebut ulama mesti difahami dengan tepat. Mereka semua memberikan fatwa itu ketika mengulas ‘ke manakah perlu disalurkan hasil harta-harta haram yang berada di dalam pemilikan individu’. Konteksnya adalah, jika seseorang itu memperoleh wang haram sama ada daripada hasil judi, perniagaan haram, pelaburan haram dan kini ingin bertaubat, ke manakah ia patut disalurkan.

Adakah ia perlu dilupuskan atau dibakar dan dibuang debunya ke dalam sungai atau lautan? Ulama hampir sepakat mengatakan melupuskannya seperti cara di atas, tanpa memberi manfaat kepada sesiapa pun adalah bercanggah dengan pelbagai dalil, Maqasid Syariah dan logik akal. Ini kerana dosa perolehan harta haram itu bersifat hukmi dan bukan ‘aini (jisim).
Berbeza jika sekiranya barang dimiliki itu adalah haram pada ‘ain’ dan zatnya seperti sebotol berisi arak, semangkuk sup daging babi, sepotong daging kambing tidak sembelih untuk makan tengah hari dan yang sepertinya. Ketika itu, baru hukumnya wajib melupuskannya dengan cara buang serta diharamkan untuk diberi kepada sesiapa juga, termasuk menjualnya, menjadikan bahan perhiasan, walaupun kepada orang bukan Islam.
Haram Secara Hukmi
Manakala harta haram secara hukmi (menurut hukum kerana caranya bercanggah dengan syariah seperti judi, rasuah, rompak, riba dan lain-lain) yang dimiliki individu adalah haram digunakan untuk dirinya dan keluarganya.

Cara melupuskannya adalah dengan menyalurkannya sama ada kepada Baitul Mal, pusat zakat atau terus kepada fakir dan miskin. Itulah konteksnya.

Setiap hasil cukai dan pendapatan daripada hasil yang haram, pemerintah yang bertanggungjawab mesti menyalurkannya kepada fakir, miskin dan kemaslahatan awam menurut nilai jumlah pendapatan itu. Ini kerana harta haram itu, jika terus dibiar berada dalam pemilikan individu, bakal merosak keberkatan kehidupannya dan rezekinya.

Di peringkat Negara, membiarkan negara bergantung kepada hasil haram tanpa justifikasi betul daripada sudut hukum syariah akan menjerumuskan pemimpin ke dalam kehinaan, dosa dan balasan azab di akhirat.

Justifikasi dimaksudkan di atas adalah, sesebuah kerajaan pimpinan Islam dibenar meluluskan sesuatu yang diterima agama lain dengan syarat ia khusus untuk penduduk setempat itu dan tidak membabitkan penduduk beragama Islam.

Pada masa sama kerajaan dibenar mengutip cukai hasil pemberian lesen itu.

Contohnya, dalam sesetengah agama, arak dibenarkan, justeru pemerintah Islam menghormati kebenaran itu, justeru ulama menyatakan keharusan bagi kerajaan meluluskan pembukaan kedai arak khusus untuk penganut agama terbabit saja. Itulah namanya siasah syariyyah. Demikian statusnya dengan babi dan makanan tidak sembelih, disebabkan agama mereka membenarkan, kerajaan Islam mesti membenarkan pembukaan kedai jual babi, penternakan babi dan gerai menjual makanan tidak sembelih setelah dipohon penganut agama yang membenarkan tetapi secara terhad dan berhati-hati. Pada masa sama juga, kerajaan boleh mengenakan cukai biasa daripada lesen dan perniagaan itu.
Yang Dipersetujui Haram
Namun begitu, perlu diingat tiada agama mengharuskan pelacuran, pengurusan kewangan riba dan perjudian. Sebarang kebenaran bagi pembukaan premis sebegitu dan pengambilan cukai daripadanya adalah haram. Apabila ia masuk ke dalam pendapatan negara, keberkatan dalam negara akan hilang, tatkala itu ia memerlukan proses pembersihan. Menurut perspektif Islam, jika tidak dibersihkan, bebanan hukuman haram itu akan ditanggung pemerintah terbabit. Justeru, dalam keadaan itu dosa terlekat di bahu pemerintah jika dia Muslim.

Oleh itu, persoalannya bagaimana pula untuk menguruskan wang berkenaan.

Wang daripada sumber haram boleh berganda haramnya jika tidak disalurkan dengan betul.

Saluran terbaik menurut dalil dan perbincangan ulama adalah kemaslahatan umum, fakir dan miskin. Golongan ini sentiasa diharuskan oleh Islam untuk menerima wang daripada sebarang hasil atas kapasiti mereka selaku fakir, miskin dan sangat memerlukan.

Justeru, mereka adalah penerima harta sumbangan kerajaan dan individu secara yang sah daripada sudut pandangan Islam. Tiada syubahah untuk mereka menerimanya dan tidak lagi haram. Sebarang momokan mengatakannya syubahah dan haram adalah kegagalan dalam memahami dalil dan fatwa mazhab yang empat.

Menerusi penerangan itu mungkin ada pula yang akan bertanya, jadi adakah digalakkan industri serta perniagaan yang jelas haram ini.

Tidak sama sekali! Jika difahami sebegitu, pembaca terbabit silap memahami konteks.

Fatwa keharusan untuk disalurkan kepada tiga kumpulan tadi bukan satu galakan, sokongan atau sengaja membiarkan pimpinan meluluskan premis jualan arak, perjudian, pelacuran, riba dan sebagainya.

Pimpinan itu tetap berdosa meluluskan sesuatu aktiviti tetapi fatwa keharusan itu adalah satu pemberitahuan kaedah pelupusan sumber wang haram yang diperoleh oleh individu dan kerajaan bagi melepaskan bebanan haram yang ditanggung oleh negara dan individu.
Kesimpulan
Dalam isu ini, jika terjadi pada peringkat individu, ahli keluarga yang lain wajib menegur. Manakala di peringkat kerajaan, sebagaimana diajar nabi, wajib pula bagi ahli kepemimpinan lain atau penyokong mereka menegur. Jika teguran tidak dilakukan, dosa terbabit dikongsi bersama oleh pimpinan lain dan penyokong, berdasarkan banyak dalil, antaranya hadis nabi.

Riwayat Muslim dan Ibn Majah menjelaskan bahawa: “Barang siapa menyeru atau mengajak ke arah sesuatu yang sesat (dosa), dia akan menanggung dosanya sebagaimana dosa orang yang mengikuti ajakan dan seruannya hinggalah hari kiamat, tidak terkurang dosa itu walau sedikit.” Mungkin selepas ini ada yang bertanya: “Ustaz sebelum ini sibuk mengajak orang makan makanan dan harta halal tapi kali ini, adakah ustaz ingin kumpulan fakir miskin memakan wang syubahah dan haram?” Sebenarnya ini satu kekeliruan kerana saya sentiasa bersama kempen menjauhkan umat Islam daripada syubahah dan haram sama ada daripada judi, riba, penipuan, rasuah dan sepertinya.

Namun individu yang berkata di atas bercakap dan memahami dalam konteks yang salah.

Ini kerana kita menyentuh soal cara pelupusan wang haram yang bertujuan membersihkan pemilikan harta haram sama ada individu atau kerajaan.

Ia bertujuan untuk membawa berkat dan tanda taubat mereka.

Untuk melakukan taubat itu, wang haram dan syubahah yang dimiliki perlu disalurkan atau dipulangkan kepada mangsa (jika ia dicuri darinya). Namun jika tidak diketahui pemilik asal, penerima yang dibenarkan hanyalah maslahat awam, fakir dan miskin.

Bagaimana untuk bertaubat jika kemaslahatan awam, fakir dan miskin juga tidak boleh menerima wang tersebut.

Adakah ingin dilemparkan ke dalam lautan atau dibakar.

Itu sebuah pembaziran yang tidak perlu sebagaimana telah diterangkan di atas dan semua keterangan ini adalah berdasarkan pandangan ulama mazhab kontemporari selain mengajak kepada tatacara urusan wang secara halal dan tepat, yakni menjauhi syubahah dan haram.

Ditegaskan sekali lagi, harta tadi tidak sama sekali menjadi haram dan syubahah ke atas penerima sama ada yang termasuk dalam golongan maslahat awam, fakir dan miskin. Harapnya, persoalan ini mampu difahami dengan baik oleh semua pembaca.

No comments:

Post a Comment