Wednesday, March 23, 2016

Andai SATU yang berjaya, AKU lah orangnya


Andai seratus yang berjaya, AKULAH di antaranya.
Andai sepuluh yang berjaya, AKULAH yang pertama.
Andai satu yang berjaya, AKULAH orangnya.

Sekeping 'motivation board' digantung megah di hadapan tapak perhimpunan pelajar di sebuah sekolah rendah. Motivation board yang mampu memberi inspirasi untuk anak-anak tekad berusaha demi mencapai sebuah kejayaan.


Melihatkan motivation board ini berada di posisi yang sentiasa boleh dibaca oleh para murid, hampir setiap hari, menimbulkan tanda tanya, adakah semangat ini yang hendak di tanam ke dalam fikiran anak-anak?

Kita tidak mengatakan ayat ini salah, malah ia terbuka kepada persepsi bagaimana kita menghadamkannya. Cuma secara bawah sedar, kita seolah-olah cuba indoktrinasi pengaruh ke-AKU-an yang sungguh mementingkan diri. Segalanya berkisar tentang AKU.

Bagi mencapai cita-cita sebagai AKU seperti di atas, AKU perlu memastikan orang lain tidak menang. Dan, ianya bukan kerja mudah. Setiap anak-anak perlu menjadi superhuman yang saling bersaing. Setiap mereka perlu punyai otak yang sangat pintar, diri yang sangat berdedikasi, sanggup berkorban masa dan kegembiraan, mampu menganalisa soalan peperiksaan, mampu menganalisa jawapan orang lain supaya jawapan kita jauh lebih baik, mampu berfikir secara strategik dan kreatif, mampu mengesan siapa musuhnya (baca: pesaing), punyai sikap positif yang tinggi, tahan diejek sebagai ulat buku, mat skema, tahan dibuli, tahan dipulaukan, cekal, tabah, pantang undur dan segala-gala sifat yang perlu ada pada superhuman. Jika tidak, mana mungkin mampu kita memastikan kedudukan kita di tempat teratas.


Akhirnya akan lahir manusia-manusia individualistik yang tidak pandai bergaul, tidak berminat dengan pandangan orang lain, malah tidak menghormati pun. Dia menganggap hanya dirinya, ilmunya, pengalamannya, pendapatnya sahaja yang penting. Ini akan menjauhkan diri mereka dengan masyarakat dan peluang-peluang baru dalam hidup.

Di dalam menghadapi dunia yang kian mencabar kini, semangat ke-AKU-an seperti ini haruslah dikurangkan. Anak-anak tidak perlu menjadi superhuman. Gantikannya dengan semangat ke-KITA-an. Semangat yang membuatkan anak-anak kita membesar dengan lebih kuat, lebih bekerjasama, lebih bertoleransi, pandai bergaul, punya modal sosial yang tinggi, saling hormat menghormati, belajar menjadi ketua yang baik, dan belajar menjadi pengikut yang baik. Dengan itu, anak-anak masih kekal menjadi manusia biasa-biasa tetapi mampu berjaya. Proses pembelajaran juga menjadi satu proses yang menyenangkan, bukan lagi satu bebanan.

Kita perlu sedar bahawa setiap orang mempunyai batas. Begitu juga batas terhadap ilmu. Jadi, elakkan bersaing, jalinkan kerjasama dan bantu membantu. Senada dengan pesan orang lama, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

---------------------------------------

Jika kata-kata di atas lebih ke-AKU-an, mohon izin ia diubah sedikit.

Andai seratus yang berjaya, KAMILAH di antaranya.
Andai sepuluh yang berjaya, akan KAMI pastikan yang lain juga turut berjaya.
Andai satu yang berjaya, akan KAMI pastikan yang satu itu membawa kami bersama.

Adakah perubahan kata ini mencapai maksud ke-KITA-an seperti yang diidamkan? Walaupun tidak mencapai seratus peratus, sekurang-kurangnya sedikit mendorong ke arah itu.

---------------------------------------

Tanah Melayu tidak merdeka dengan hanya Tunku Abdul Rahman seorang pergi berunding di London, jika tiada perjuangan secara bersama yang berlaku sebelum itu.

Achilles tidak mampu membina trojan horse dan membolos kota Troy, tanpa kerjasama sebuah pasukan.

Bagi anak-anak di luar sana, yang masih berada dalam dunia superhero, ketahuilah bahawa hero-hero pujaan kita juga faham erti kerjasama.

Mebius, Gaia, Dyna dan Ultraman Taro, masing-masing pernah mencipta nama tersendiri. Namun atas rasa kekitaan, mereka bergabung membentuk Ultraman Brothers.

The Avengers tidak akan mampu menghadapi Ultron jika mereka tidak bekerjasama.

Kata cikgu Kakashi, "Kemampuan individu seorang ninja memang penting, tetapi yang lebih penting lagi adalah kerjasama kumpulan."

IZIN BUKAN BERERTI REDHA


 Kita tidak wajar berbicara sesuatu tentang Allah apa yang dia tidak faham sehingga akhirnya menampakkan kedangkalan cara fikir.

Saya tidak suka terlalu berfalsafah dalam bicara. Tujuan ucapan dan ungkapan adalah untuk difahami oleh pendengar atau pembaca, bukan agar mereka bertambah pening. Pun begitu ada juga beberapa istilah yang perlu diperbetulkan, bukan kerana ingin berfalsafah tetapi kerana ia penting untuk difahami untuk mengelakkan salahfaham antara kaum muslimin.

Antara perkara yang penting untuk dibezakan ialah ungkapan ‘izin’ dan ‘redha’. Kedua-dua perkataan ini berasal dari bahasa Arab. Apa yang kita izinkan bukan semestinya kita redha. Juga apa yang kita redha bukan semestinya kita izinkan. Juga mungkin apa yang kita izinkan itu kita redha, atau sebaliknya juga mungkin apa yang kita redha maka kita izinkan. Mengizinkan bermaksud membolehkan sesuatu itu berlaku (lihat: al-Kafawi, al-Kulliyyat, 72, Beirut: Muassasah al-Risalah). Sementara redha bermaksud suka atau kasih kepada sesuatu. Disebut al-Mahabbah wa al-Ridha atau cinta dan redha (ibid 76).

Kita mungkin memberikan kebenaran atau memboleh sesuatu yang di bawah penguasaan kita berlaku dalam keadaan redha ataupun tidak redha. Apa yang kita izinkan bukanlah semestinya kita redha atau suka. Umpamanya jika seseorang pemerintah muslim mengizinkan bukan muslim membina rumah ibadah mereka, bukanlah semestinya bererti pemerintah tersebut meredhai kekufuran atau penyembahan selain daripada Allah. Demikian juga apabila pemerintah tertentu mengizinkan mereka melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti minum arak atau berjudi dalam premis mereka, bukanlah bererti pemerintah tersebut telah menghalalkan arak atau judi. Keizinan itu diberikan mungkin disebabkan kerana hak-hak mereka sebagai bukan muslim dalam mengamalkan agama dan cara hidup mereka. Pemerintah mengatur urusan rakyat dengan adil dan saksama. Keizinan atau kelulusan yang diberikan oleh pemerintah bukan menunjukkan akidahnya telah rosak atau dia telah menghalalkan yang haram. Melainkanlah jika perasaan dia itu memang redha atau dia sendiri melakukan perkara-perkara yang menunjukkan dia redha. Ketika itu barulah datang penilaian di sudut akidah.

Apa yang ingin dijelaskan bukan semestinya setiap yang diizinkan itu diredhai oleh seseorang. Saya misalkan, seorang anak yang mendesak ayahnya memberikannya kunci kereta kerana ingin keluar bersama dengan rakan-rakannya. Si ayah enggan memberi kerana bimbang anaknya tidak tahu mengawal diri apabila keluar bersama rakan. Namun si anak terus mendesak dan bertegang dengan ayahnya sehingga menyebabkan si ayah akhirnya memberikan kunci kepada si anak. Anak ini pun keluar berjumpa dengan rakan-rakannya sambil berkata: “ayahku izinkan aku pakai keretanya malam ini”. Sementara si ayah apabila ditanya berkata: “memang saya izinkan tapi saya tidak redha, sebab dia mendesak dan saya malas bising-bising”. Keadaan ini menggambarkan bagaimana kadang-kala keizinan diberikan tanpa keredhaan atau kerelaan. Betapa ramai wanita zaman tahu yang mengizinkan bapa mereka mengahwinkan mereka, sedangkan jantung hati mereka tidak redha.
Di samping ada keadaan di mana kita izinkan sesuatu dengan penuh redha. Juga ada keadaan di mana kita meredhai sesuatu tetapi tidak dapat mengizinkannya. Kita tidak izinkan mungkin disebabkan faktor-faktor tertentu.

Sebab itu dalam al-Quran Allah gunakan perkataan masyiah atau kehendak dan dalam masa yang sama ada perkataan redha. Manusia menjadi beriman dan kufur adalah dengan kehendak atau izin Allah. Jika Allah tidak izin atau kehendak, maka tiada satu perkara pun yang boleh berlaku di alam ini. Namun bukan semestinya apa yang Allah izinkan berlaku itu, Allah meredhainya. Firman Allah: (maksudnya) “Maka (fikirkanlah) adakah orang yang dihiaskan kepadanya amalan buruknya (oleh syaitan) lalu dia memandangnya baik, kerana sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dan dia juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Oleh itu, janganlah kamu membinasakan dirimu (Wahai Muhammad) kerana menanggung dukacita terhadap kesesatan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka kerjakan” ( Surah al-Fatir, ayat 8).

Allah menyesat sesiapa yang Dia Kehendaki kerana mereka memilih kesesatan, demikian memberikan petunjukNya kepada sesiapa yang ingin memilih petunjuk. Itulah peraturan alam yang Dia Maha Pencipta lagi Maha Adil tetapkan. Dia tidak menzalimi hamba-hambaNya.

Apabila kekufuran atau kemaksiatan atau kesesatan itu berlaku bukanlah Dia redha atau sukakan kekufuran sekalipun berlaku dengan izin atau kehendakNya. FirmanNya: (maksudnya) “Kalaulah kamu kufur akan nikmat-nikmatNya itu, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah tidak memerlukan kamu; dan Dia tidak redha untuk hamba-hambaNya kekufuran; dan jika kamu bersyukur, Dia meredainya untuk kamu..(Surah al-Zumar, ayat 7).

Maha Suci Allah untuk dibandingkan dengan makhluk. Namun untuk mendekatkan faham, demikian insan dalam hidup ini mestilah dibezakan antara keizinan dan keredhaan.

Aku bagi contoh satu situasi yang mudah, seorang pelakon wanita yang cukup seksi dan banyak berlakon dalam filem2 yang mempunyai adegan dan babak maksiat, menerima Anugerah Pelakon Wanita terbaik bagi lakonannya dalam filem Isteriku Seorang Pelacur. Dalam ucapan kemenangannya di atas pentas dengan kain yang ketat dan terbelah serta baju yang menampakkan tulang belakang dari atas sampai ke bawah:
"Saya bersyukur kepada Allah, kerana dengan izin-Nya, saya telah memenangi anugerah ini. Segala bakat lakonan yang dikurniakan oleh Allah kepada saya akhirnya berbaloi dan membuahkan hasil. Alhamdulillah, terima kasih Allah"
Ya, memang Allah izinkan beliau memenangi anugerah tersebut, akan tetapi, adakah Allah meredhai perbuatannya yang melakukan maksiat dalam lakonannya?

Terjemahan Surah an-Nisa, ayat ke-78:
"Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: "Ini adalah dari sisi Allah", dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata:" Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu". Katakanlah (wahai Muhammad): "Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah". Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?"
Terjemahan Surah an-nisa, ayat ke-79:
"Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri. Dan Kami telah mengutus engkau (wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul (yang membawa rahmat). Dan cukuplah Allah menjadi saksi (yang membuktikan kebenaran hakikat ini)."

Berdasarkan kedua2 ayat di atas, segala yang berlaku sama ada yang baik atau yang buruk memang berlaku dengan keizinan dan ketentuan Tuhan, tapi ia tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk menghalalkan yang haram, kerana apa jua perkara buruk dan bala bencana adalah berpunca daripada kesalahan dan kesilapan manusia itu sendiri. Sebab itu Rasul diutus untuk memberi peringatan dan panduan agar manusia tidak melakukan kesalahan tersebut.

Aku faham dan sedar yang aku dan orang2 lain yang mengutuk2 K-Pop juga bukanlah perbuatan yang baik apatah lagi diredhai, tapi sekurang2nya aku tahu ia salah dan aku tidak menggunakan alasan agama dan Tuhan untuk mempertahankan tindakan kami mengutuk K-Pop. Kami juga tahu yang Nabi berdakwah tidak menggunakan kutukan dan kata2 kesat. Namun satu yang kami pasti, Nabi memang tidak pernah mengajar dan menyuruh umatnya memeluk dan membenarkan diri dicium artis K-Pop, malah ramai peminat2 yang taksub pada K-Pop ini tidak sedar yang mereka salah.

Btw, kalau orang letak video gadis itu, ia bukan bertujuan untuk mengaibkan gadis tersebut. Gadis itu sendiri yang merakam video itu untuk menyatakan pandangan dan pendirian beliau mengenai isu K-Pop itu, dan dia mahu suara dia didengari oleh ramai orang, sebab itu dia buat video itu, lainlah kalau ia cuma perbualan antara dia dan kawan2 dia di tempat tertutup, orang lain rakam video secara curi2 dan sebarkan kat Internet, itu baru mengaibkan.

Dan dia berkata mengenai keyboard warrior. Ya, memang kami semua adalah keyboard warrior, so apa masalahnya dengan menjadi keyboard warrior? Dia juga seorang warrior, tapi video warrior.

Monday, March 21, 2016

Berhenti bandingkan diri kita dengan orang lain

Berhenti bandingkan diri kita dengan orang lain
Tunjuk bontot bukan budaya kita, malah kat entry sini aku ada tulis macam2 benda yang bukan budaya kita. Tapi ada satu benda yang memang dah jadi budaya kita yang agak negatif iaitu budaya banding-membanding atau compare. Kita ni suka sangat membanding2kan sesuatu terutama sesama manusia. Kalau kita membuat perbandingan harga atau bandingkan kualiti barang mana satu lagi canggih samada Samsung atau iPhone tu tak kisah la.


Seperti contoh kita suka banding diri kita dengan orang lain:
  • Aku dengan Najib dulu satu kelas kat sekolah menengah, aku siap jadi ketua darjah dia lagi, result SPM aku pun lagi bagus daripada dia, tapi lepas sekolah dia dah berjaya sampai jadi PM Malaysia sedangkan aku sekarang ni cuma dapat jadi Pembantu Tadbir N22 je, bukan sahaja dia dah kira jadi ketua aku malah dah jadi ketua kepada seluruh penjawat awam 1Malaysia. Kecewanya aku...
  • Dulu waktu kat universiti dulu, aku dengan Anwar dulu pointer aku lagi tinggi daripada, tatkala aku tengah sibuk study, dia dok sibuk dengan berpersatuan. Sekarang ni aku yang kerja sebagai Senior Engineer kat kilang buat botol kicap kalau nak ke Sabah Sarawak pun mampu nak naik Air Asia je, dia siap boleh naik jet lagi member pinjamkan. Sedih sangat...
  • Masa sekolah dulu aku ada seorang member, Zizan. Dia dulu takde la pandai sangat, habis sekolah je terus kerja kat bengkel. Aku habis sekolah dulu aku buat diploma kat Uitm Arau, lepas tu buat pula dekat Uitm Shah Alam, lepas grad aku dapat la kerja jadi Human Resource officer kat sebuah syarikat cina. Gaji pun ciput tak besar mana, fresh grad la katakan, ada la dalam RM2000 sebulan. Kereta pun cuma mampu nak pakai kereta kancil manual 660cc 2nd hand, buat loan 9 tahun bayar bulan2 RM300. Tau2 aku tengok kat TV member sekolah aku si Zizan tu dah pakai kereta Mitsubishi Evo X. Apalah dengan nasib aku ni...
  • Blog aku nak kata artikel tak cukup hebat, tiap2 hari aku mengerah otak menulis2 artikel yang mantap, tapi kenapa masih lagi tak banyak hits. Aku tengok blog2 lain macam Blogserius, Aku Stress Giler, Beautiful Nara, Ben Ashaari, Fatin Liyana tu kadang2 isi kandungannya merepek2 jugak tapi banyak je hits. Aku dah give up lah nak tulis blog ni...


Kita juga suka banding diri orang lain dengan orang lain:
  • Kenapa la anak aku ni lembab, orang lain yang sebaya dengan dia semua dah khatam baca Quran, tapi anak aku ni buku Iqra' 1 pun masih lagi kat mukasurat 10. Kenapakah malang sangat nasib aku ada anak macam ni...
  • Abang cuma awak tengok si Limah tu, menantu2 dia semua hebat2, kalau yang lelaki mesti kaya, kerja bagus2, rumah besar, ada yang anak Dato' lagi. Yang anak perempuan dia semuanya cantik2, pandai memasak, ada butik sendiri. Abang tengok menantu2 kita tu, yang si Salim tu dah la kerja pun tukang bawa lori je, anak bini asyik kena tinggal je. Kalau si Senah tu pulak, dah la tak pandai masak, mandul pulak tu, kesian anak kita tak dapat nak merasa anak sendiri. Ya Allah kenapalah kau uji aku dengan nasib sebegini...
  • Awak ni Leman saya tengok slow je buat kerja. Saya tengok awak ni bukannya tak rajin buat kerja, cuma lembab, lambat pickup. Cuba awak tengok si Khairy tu, tahun ni je dah masuk tahun ke-3 dia dapat anugerah pekerja cemerlang. Dia bukannya rajin sangat pun tapi dia tu pick-up, cukup pantas belajar, tiap2 hari jumpa saya nak laporkan kerja dia. Hey Leman, Leman... sampai bila awak nak berubah ni?
  • Bila abang nak cepat nak naik gaji naik pangkat ni? Saya tengok jiran sebelah kita si Lokman tu kejap2 tukar kereta, kejap2 tukar sofa, kejap2 tukar TV, bini je tak tukar. Kita ni bang, jangan kata TV LCD, Plasma pun takde, tu ha pakai lagi CRT TV yang asyik nak kena tepuk je. Mana ada orang pakai TV macam tu kita ni lagi bang, malu saya bila keluarga saya datang rumah. Kereta pun takde, naik la motor Kriss cabuk abang tu yang dah nak tertanggal ekzos tu, tidur pulak atas toto je. Kalau saya tahu abang tak banyak duit dulu, jangan harap la saya nak kawin dengan abang. Menyesal tolak pinangan anak penghulu kampung tu dulu.


Tahukah anda membanding2kan diri manusia dengan manusia yang lain adalah satu budaya yang sangat tidak baik. Ia hanya akan demotivate atau menurunkan semangat anda untuk terus maju kehadapan, sampai bila2 anda takkan puas hati dengan diri anda dan sentiasa rasa rendah diri serta tidak yakin pada diri sendiri. Anda juga akan terus-menerus mengeluh akan nasib buruk anda dan akan terus hidup disebalik kejayaan2 orang yang anda bandingkan itu.


Biasanya budaya banding-membanding ni lebih banyak dikalangan orang yang bernasib kurang baik kerana mereka akan membanding sesuatu kekurangan atau keburukan dengan kelebihan atau kebaikan. Jarang orang yang bernasib baik membanding suatu kelebihan dengan kekurangan, melainkan orang tu seorang yang berlagak nak mampos, seperti contoh:
  • Awak tengok si Bakar tu, dulu kat sekolah dia lagi pandai dari abang, SPM aggregat 6, abang pangkat 2 je, tapi sekarang dia cuma jadi cikgu DG41 je, kereta pun pakai kereta Proton Wira, tapi abang dah jadi Manager Bank sekarang, kereta tak main la kereta Malaysia, low class... Sebab tu abang beli Honda Accord HA HA HA!

So macam mana nak atasi budaya banding-membanding ini?


Pertama sekali, anda kena belajar terima hakikat yang manusia itu dilahirkan dengan nasib dan rezeki yang berbeza2. Tiada orang yang nasibnya akan sama. Kalau anda dilahirkan dikalangan keluarga yang susah dan miskin, anda perlu terima hakikat yang ada orang yang dilahirkan dikalangan keluarga yang kaya. Kalau anda dilahirkan dengan otak yang kurang bijak, anda perlu terima hakikat yang ada orang dilahirkan dengan otak yang bijak. Kita kena menjadi seorang yang lebih realistik.


Kedua, berhenti membanding2kan kita dengan orang lain. Sebab kalau kita asyik terus banding, kebiasaannya sampai bila2 pun anda takkan dapat mengalahkan orang yang dibanding itu, seperti contoh anda kerja sebagai seorang Engineer dan anda bandingkan diri anda dengan kawan anda yang sekarang ni jadi Senior Engineer. 5 tahun selepas itu anda berjaya menjadi Senior Engineer, dan anda ingat anda dah berjaya mengalahkan kawan anda, tapi selepas 5 tahun, dia juga telah berjaya menjadi Department Manager. So sampai bila2 pun anda takkan dapat mengalahkan dia sebab ketika anda sedang progress, dia juga menjalani progress kehidupan juga.


Ketiga, jangan bandingkan diri kita dengan orang lain, tapi bandingkan diri kita dengan diri kita sendiri. Sebagai contoh, bandingkan diri kita SEKARANG dengan diri kita SETAHUN yang lepas. Apakah perubahan yang telah kita buat? Apakah pencapaian yang telah kita capai dalam tempoh setahun tu? Adakah kita yang HARI INI lebih baik daripada kita yang SETAHUN LEPAS. Kalau kita yang setahun lepas masih lagi kerja dengan gaji RM2000, adakah kita yang hari ini masih lagi kerja dengan gaji RM2000? Kalau ya maksudnya kita tiada progress dari segi pendapatan. Tapi kalau naik RM200 pun, tidak mengapa, at least ia adalah satu progress yang positif.
Katakan kita nak bandingkan kenderaan, jangan kita bandingkan kenderaan kita dengan kenderaan orang lain. Kalau kita naik Proton Saga, kawan kita naik Honda City, kalau kita bandingkan memang kita akan demotivate dan menjadi negatif. Bandingkan kita dengan diri kita sendiri, kalau 3 tahun yang lepas kita hanya naik motor, hari ini aku dah naik Saga, baguslah. Satu perkembangan yang positif buat kita. Kemudian kita tetapkan cita2 untuk beli kenderaan yang lebih baik di masa akan datang, Proton Preve mungkin. So 5 tahun selepas itu kita dah berjaya beli Proton Preve, dan kawan kita yang pakai Honda City tu pula dah tukar Honda Civic, takpe takde masalah. Don't compare to him/her, just compare with yourself, 5 tahun lepas hanya pakai Saga, sekarang dah pakai Preve. Dengan itu anda akan rasa lebih bersemangat, tidak merasa kecewa dan kecil hati.


Perbandingan dengan diri kita sendiri tak semestinya dalam tahun atau jangka masa yang panjang, boleh juga bandingkan diri kita dengan diri kita yang lalu dalam tempoh harian, mingguan atau bulanan. Seperti contoh kalau anak kita ada masalah pembelajaran, sebulan yang lepas dia hanya pandai huruf ABC sahaja, tapi bulan ini dia dah pandai juga huruf DEF, tidak mengapa kerana ia adalah satu progress ke hadapan, tapi kalau bulan ini dia masih lagi hanya pandai huruf ABC, bermaksud dia tiada progress dan kita buat sesuatu dan usaha lebih lagi. Kalau kita terus compare dengan anak orang lain yang dah pandai sampai XYZ, memang kita akan rasa down dan silap2 hari bulan kita akan putus asa dan berhenti berharap.

Jadilah kita yang pada HARI INI lebih baik daripada kita yang SEMALAM.

Ukuran kejayaan bagi setiap manusia itu berbeza


 
Ramai yang menganggap tanda aras dan ukuran KEJAYAAN semua orang di dalam dunia ini adalah dengan berapa banyak duit dan harta yang dia miliki serta berapa tinggi pangkat dan gelaran yang dia perolehi.

Ada juga yang berkata, kau pasti akan cemburu bila lihat aku sudah berjaya kelak sebab kau tak mahu dengar cakap aku, ikut cara aku dan mencontohi aku.

Namun hakikatnya, definisi dan ukuran SEBUAH KEJAYAAN itu berbeza pada setiap orang.

Gambar hiasan

  • Ada orang merasai kejayaan setelah mendapat duit yang banyak hasil dari perniagaan.
  • Ada orang merasai kejayaan setelah menamatkan PhD dan mendapat gelaran Dr.
  • Ada orang merasai kejayaan setelah pembedahan yang dilakukannya berjaya menyelamatkan nyawa.
  • Ada orang merasai kejayaan setelah aplikasi yang dibangunkan mencecah 1 juta muat turun.
  • Ada orang merasai kejayaan setelah lagu ciptaannya telah dimainkan di corong-corong radio.
  • Ada orang merasai kejayaan setelah banyak mengembara ke pelusuk dunia.
  • Ada orang merasai kejayaan setelah blognya telah mencapai 1 juta pageviews.
  • Ada orang merasai kejayaan setelah penulisannya berjaya dibukukan.
  • Ada orang merasai kejayaan setelah komik lukisannya mendapat sambutan ramai.
  • Ada orang merasai kejayaan setelah menghafal 30 juzuk Al-Quran.
  • Ada orang merasai kejayaan setelah menubuhkan rumah untuk anak-anak yatim.
  • Ada orang merasai kejayaan itu apabila dapat berjalan semula setelah kakinya pulih dari lumpuh.
  • Malah ada orang yang menikmati betapa manisnya kejayaan itu walau sekecil-kecil kejayaan seperti berjaya membaca setelah 50 tahun menjadi buta huruf.

Setiap orang melihat sebuah kejayaan itu dari sudut yang berbeza.

Kau, kau punya haluan, kau punya cara.
Aku, aku punya haluan, aku punya cara.

Kita sama2 mengejar suatu matlamat dan kejayaan yang berbeza dalam hidup.

Apabila kau sudah berjaya mencapai apa yang kau cita2kan, ia adalah suatu kejayaan yang memang bermakna buat diri kau namun tidak semestinya bermakna pada orang lain, malah aku tidak sedikit pun mencemburui kejayaan kau, kerana ukuran kejayaan aku berbeza dengan kau.

Oleh itu usahlah merasakan sombong dengan kejayaan yang kau kecapi itu sehingga membuatkan kau berasa lebih berjaya dan atas daripada orang lain.

Usahlah samakan kejayaan yang kau peroleh itu adalah impian yang semua orang pun idam2kan.

Usahlah memaksa orang lain untuk mengikuti haluan dan cara engkau dalam mencapai kejayaan.

Usahlah juga memperlekehkan orang lain yang tidak mahu mengikut jalan dan cara engkau kerana definisi dan tanda aras KEJAYAAN kita tidak mungkin sama, malah IMPIAN dan CITA-CITA kita juga tidak pernah kan sama.

Kehidupan itu bukan perlumbaan atau pertandingan


Sewaktu aku kecil, ibu bapa dan guruku pernah berkata, yang hidup ini bagaikan sebuah perlumbaan dan pertandingan. Aku harus rajin belajar supaya cepat pandai agar tidak ketinggalan. Aku harus mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan agar tidak disisih dan dipandang rendah.

Banggakan kedua ibu bapaku...
Banggakan nama sekolah...
Banggakan nama keluargaku...

Sepanjang perlumbaan itu, sudah banyak kali aku melihat rakan-rakanku yang lain tersungkur atau tertinggal jauh di belakang. Namun aku tetap terus berlari ke hadapan tanpa berhenti atau menoleh ke belakang lagi kerana aku lihat masih ramai lagi yang berada di depanku untuk aku pintas dan kalahkan.


Sehinggalah satu masa aku tiba di penamat perlumbaan dan merasakan aku telah menang dalam perlumbaan ini melihatkan ramai yang telahpun kecundang di belakang. Aku merasa begitu puas kerana telah menang dan boleh berdiri sebaris dengan pemenang-pemenang yang lain.

Ya, walaupun pertandingan ini sangat perit, mencabar dan penuh liku, namun aku berjaya mendapat keputusan yang baik dalam setiap peperiksaan, menjejakkan kaki ke menara gading, memperolehi segulung ijazah dan akhirnya mempunyai pekerjaan yang tetap.

Namun dalam aku puas mengecapi kemenangan ini, aku lihat ada rakan-rakanku yang pernah aku anggap kalah kerana berada di belakangku pada suatu masa dulu, kini satu per satu membina kejayaan malah jauh lebih jayanya dari aku sehingga aku terfikir, perlumbaan ini belum tamat lagikah?

Bukankah aku sudah jadi pemenang? Bagaimana mereka yang pernah di belakang aku kini boleh kalahkan aku pula?

Aku tidaklah merasa dengki dengan kejayaan mereka namun jauh di sudut hatiku terdetik juga sedikit rasa cemburu dan sedih atas kekalahanku, akan tetapi disebabkan komitmen dan tanggungjawab sedia ada, aku tidak lagi mahu bersaing dalam perlumbaan ini dan menerima sahaja kekalahan ini dengan meneruskan kehidupan seperti biasa, namun aku tetap tidak dapat membuang perasaan ini.

Sehinggalah suatu hari aku berjumpa dengan seorang rakan sekolah lamaku iaitu Azam yang dahulu pernah di bawah aku, kini sudah jauh di atas aku. Sedang aku masih bekerja makan gaji, dia sudah pun menjadi seorang doktor gigi yang memiliki klinik sendiri.

Dalam perbualan kami, aku mengucapkan tahniah dan menyatakan tentang kekaguman aku terhadapnya betapa banyaknya dia telah berubah dan menjadi jauh lebih berjaya daripada aku.

"Hebat kau Azam. Dulu kat sekolah aku selalu kalahkan kau, sekarang kau dah kalahkan aku. Syabas.", kataku pada Azam.

"Hmm... aku nak tanya kau sikit, kau pernah ada impian nak jadi doktor gigi macam aku?", tanya Azam kepadaku. Aku hanya menggelengkan kepala.

"Kau pun dah kerja sekarang, dah ada keluarga, dah ada kehidupan sendiri. Kau gembira dengan kehidupan kau sekarang?", tanyanya lagi. Aku hanya mengangguk

"Macam ni kawan, kau jangan memandang kehidupan ini sebagai sebuah perlumbaan atau pertandingan, jika tidak sampai bila-bila kau takkan berpuas hati kerana bila-bila masapun kau akan merasa kalah pada orang lain."

Kata-kata Azam benar-benar menyedarkan aku. Rupanya aku telah salah selama ini. Kehidupan ini bukanlah sebuah perlumbaan mahupun pertandingan. Ia sebuah perjalanan, dan dalam perjalanan tiada menang atau kalah, yang ada hanya kejayaan dan gagal.

Dalam sebuah perlumbaan, semua orang akan bermula di garisan permulaan yang sama, berlari dengan jarak yang sama untuk mencapai matlamat yang sama iaitu garisan penamat.

Dalam sebuah pertandingan, semua orang akan bertanding di gelanggang yang sama, peraturan yang sama, pengadil yang sama.

Andai kehidupan adalah sebuah perlumbaan, akan ada yang bermula di garisan lebih hadapan, ada yang bermula jauh di garisan belakang, Ada yang perlu berlari 1 meter sahaja, ada yang perlu berlari sejauh 1 kilometer untuk ke garisan penamat. Ada yang berlari, ada yang berjalan, ada juga yang menaiki kereta untuk ke garisan penamat yang tidak sama pun. Ada yang ke kiri, ada ke kanan, ada ke tengah.

Andai kehidupan sebuah pertandingan pula, akan ada yang bertanding di gelanggang yang baik, ada yang di gelanggang yang buruk. Peraturan yang sama tidak akan terpakai kepada semua peserta, ada yang mendapat kelebihan dan keistimewaan, ada yang tidak. Pengadil juga tidak pernah sama dan pengadilannya juga pasti akan berat sebelah.

Hakikatnya dalam kehidupan ini kita semua tidak pernah bermula di garisan yang sama. Orang yang lahir dulu cabarannya tidak sama dengan orang yang lahir 10 tahun kemudian.

Impian setiap orang juga berbeza, semua orang tidak pernah mengejar impian yang sama. Ada yang mengejar impian menjadi doktor sebagai ukuran kejayaannya, ada juga yang mengejar impian untuk menjadi pemain badminton negara sebagai ukuran kejayaannya.

Latar belakang setiap orang juga berbeza, ada yang lahir-lahir sudah dilimpahi harta, ada yang sudah 15 tahun hidup juga masih tidak pernah menjamah makanan selain nasi kosong dan ikan kering.

Kita tidak pernah bersaing dalam gelanggang yang sama di mana peraturan juga tidak pernah sama untuk semua orang. Orang yang kaya, berpangkat tinggi, mempunyai pengaruh besar akan sentiasa mendapat kelebihan, manakala yang miskin, tiada pangkat dan orang biasa sukar mendapat peluang.

Dunia tidak adil?

Ya, dunia memang tidak pernah adil. Ada yang lahir dari perut seorang permaisuri raja, ada yang lahir dari perut seorang isteri penoreh getah, ada yang lahir bukan kerana kehendak ibunya pun lalu dijumpai di tepi tong sampah. Maka bagaimana kehidupan itu harus menjadi perlumbaan mahupun pertandingan jika dari awal lagi pesertanya itu pun tidak pun setaraf dan bersaing dengan adil?

Apabila kehidupan ini bukan lagi suatu perlumbaan mahupun pertandingan, maka kita juga seharusnya tidak perlu bersaing ataupun membandingkan diri kita dengan orang lain. Kita sendiri yang menjalani perjalanan hidup kita sendiri, bukannya orang lain. Suatu kejayaan orang lain mungkin bukan suatu yang kau impikan, begitu juga sebaliknya. Aku dan kau manusia yang sama, namun apa yang kita kejar mungkin berbeza.

Jika kita menghadapi kegagalan, itu bukan bermakna kita kalah sebaliknya kita gagal untuk diri sendiri. Jika kita memperoleh kejayaan, itu bukan bermakna kita menang dan berjaya mengalahkan orang lain, sebaliknya kita telah berjaya mengapai impian kita sendiri.

Dalam sebuah pertandingan, melihat orang lain tersungkur atau kalah itu membuatkan kita menang dan puas. Namun dalam kehidupan, melihat orang lain tersungkur atau gagal itu tidak seharusnya kita gembira, malah kita yang berjaya perlu menarik dan membantu mereka agar bangkit semula dari kegagalan.

Oleh itu usahlah cemburu dan sedih dengan kejayaan orang lain. Jika gagal itu bukan bermakna kita kalah tapi kita belum berjaya. Dan kejayaan itu bukanlah suatu yang murah. Bagi orang kebiasaan seperti kita, ia datang dengan usaha, kerja keras, peluang dan nasib.

Dalam kehidupan, tiada menang atau gagal, yang ada cuma berjaya atau gagal. Dan kejayaan serta kegagalan ini pula, ia boleh datang awal, lambat atau mungkin takkan muncul langsung dalam kehidupan kita.

Namun akhirnya, tiada siapa yang kau harus kejar, tiada siapa yang harus kau kalahkan... melainkan diri sendiri.

Inilah realiti... sebuah kehidupan...