Monday, March 21, 2016

Kehidupan itu bukan perlumbaan atau pertandingan


Sewaktu aku kecil, ibu bapa dan guruku pernah berkata, yang hidup ini bagaikan sebuah perlumbaan dan pertandingan. Aku harus rajin belajar supaya cepat pandai agar tidak ketinggalan. Aku harus mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan agar tidak disisih dan dipandang rendah.

Banggakan kedua ibu bapaku...
Banggakan nama sekolah...
Banggakan nama keluargaku...

Sepanjang perlumbaan itu, sudah banyak kali aku melihat rakan-rakanku yang lain tersungkur atau tertinggal jauh di belakang. Namun aku tetap terus berlari ke hadapan tanpa berhenti atau menoleh ke belakang lagi kerana aku lihat masih ramai lagi yang berada di depanku untuk aku pintas dan kalahkan.


Sehinggalah satu masa aku tiba di penamat perlumbaan dan merasakan aku telah menang dalam perlumbaan ini melihatkan ramai yang telahpun kecundang di belakang. Aku merasa begitu puas kerana telah menang dan boleh berdiri sebaris dengan pemenang-pemenang yang lain.

Ya, walaupun pertandingan ini sangat perit, mencabar dan penuh liku, namun aku berjaya mendapat keputusan yang baik dalam setiap peperiksaan, menjejakkan kaki ke menara gading, memperolehi segulung ijazah dan akhirnya mempunyai pekerjaan yang tetap.

Namun dalam aku puas mengecapi kemenangan ini, aku lihat ada rakan-rakanku yang pernah aku anggap kalah kerana berada di belakangku pada suatu masa dulu, kini satu per satu membina kejayaan malah jauh lebih jayanya dari aku sehingga aku terfikir, perlumbaan ini belum tamat lagikah?

Bukankah aku sudah jadi pemenang? Bagaimana mereka yang pernah di belakang aku kini boleh kalahkan aku pula?

Aku tidaklah merasa dengki dengan kejayaan mereka namun jauh di sudut hatiku terdetik juga sedikit rasa cemburu dan sedih atas kekalahanku, akan tetapi disebabkan komitmen dan tanggungjawab sedia ada, aku tidak lagi mahu bersaing dalam perlumbaan ini dan menerima sahaja kekalahan ini dengan meneruskan kehidupan seperti biasa, namun aku tetap tidak dapat membuang perasaan ini.

Sehinggalah suatu hari aku berjumpa dengan seorang rakan sekolah lamaku iaitu Azam yang dahulu pernah di bawah aku, kini sudah jauh di atas aku. Sedang aku masih bekerja makan gaji, dia sudah pun menjadi seorang doktor gigi yang memiliki klinik sendiri.

Dalam perbualan kami, aku mengucapkan tahniah dan menyatakan tentang kekaguman aku terhadapnya betapa banyaknya dia telah berubah dan menjadi jauh lebih berjaya daripada aku.

"Hebat kau Azam. Dulu kat sekolah aku selalu kalahkan kau, sekarang kau dah kalahkan aku. Syabas.", kataku pada Azam.

"Hmm... aku nak tanya kau sikit, kau pernah ada impian nak jadi doktor gigi macam aku?", tanya Azam kepadaku. Aku hanya menggelengkan kepala.

"Kau pun dah kerja sekarang, dah ada keluarga, dah ada kehidupan sendiri. Kau gembira dengan kehidupan kau sekarang?", tanyanya lagi. Aku hanya mengangguk

"Macam ni kawan, kau jangan memandang kehidupan ini sebagai sebuah perlumbaan atau pertandingan, jika tidak sampai bila-bila kau takkan berpuas hati kerana bila-bila masapun kau akan merasa kalah pada orang lain."

Kata-kata Azam benar-benar menyedarkan aku. Rupanya aku telah salah selama ini. Kehidupan ini bukanlah sebuah perlumbaan mahupun pertandingan. Ia sebuah perjalanan, dan dalam perjalanan tiada menang atau kalah, yang ada hanya kejayaan dan gagal.

Dalam sebuah perlumbaan, semua orang akan bermula di garisan permulaan yang sama, berlari dengan jarak yang sama untuk mencapai matlamat yang sama iaitu garisan penamat.

Dalam sebuah pertandingan, semua orang akan bertanding di gelanggang yang sama, peraturan yang sama, pengadil yang sama.

Andai kehidupan adalah sebuah perlumbaan, akan ada yang bermula di garisan lebih hadapan, ada yang bermula jauh di garisan belakang, Ada yang perlu berlari 1 meter sahaja, ada yang perlu berlari sejauh 1 kilometer untuk ke garisan penamat. Ada yang berlari, ada yang berjalan, ada juga yang menaiki kereta untuk ke garisan penamat yang tidak sama pun. Ada yang ke kiri, ada ke kanan, ada ke tengah.

Andai kehidupan sebuah pertandingan pula, akan ada yang bertanding di gelanggang yang baik, ada yang di gelanggang yang buruk. Peraturan yang sama tidak akan terpakai kepada semua peserta, ada yang mendapat kelebihan dan keistimewaan, ada yang tidak. Pengadil juga tidak pernah sama dan pengadilannya juga pasti akan berat sebelah.

Hakikatnya dalam kehidupan ini kita semua tidak pernah bermula di garisan yang sama. Orang yang lahir dulu cabarannya tidak sama dengan orang yang lahir 10 tahun kemudian.

Impian setiap orang juga berbeza, semua orang tidak pernah mengejar impian yang sama. Ada yang mengejar impian menjadi doktor sebagai ukuran kejayaannya, ada juga yang mengejar impian untuk menjadi pemain badminton negara sebagai ukuran kejayaannya.

Latar belakang setiap orang juga berbeza, ada yang lahir-lahir sudah dilimpahi harta, ada yang sudah 15 tahun hidup juga masih tidak pernah menjamah makanan selain nasi kosong dan ikan kering.

Kita tidak pernah bersaing dalam gelanggang yang sama di mana peraturan juga tidak pernah sama untuk semua orang. Orang yang kaya, berpangkat tinggi, mempunyai pengaruh besar akan sentiasa mendapat kelebihan, manakala yang miskin, tiada pangkat dan orang biasa sukar mendapat peluang.

Dunia tidak adil?

Ya, dunia memang tidak pernah adil. Ada yang lahir dari perut seorang permaisuri raja, ada yang lahir dari perut seorang isteri penoreh getah, ada yang lahir bukan kerana kehendak ibunya pun lalu dijumpai di tepi tong sampah. Maka bagaimana kehidupan itu harus menjadi perlumbaan mahupun pertandingan jika dari awal lagi pesertanya itu pun tidak pun setaraf dan bersaing dengan adil?

Apabila kehidupan ini bukan lagi suatu perlumbaan mahupun pertandingan, maka kita juga seharusnya tidak perlu bersaing ataupun membandingkan diri kita dengan orang lain. Kita sendiri yang menjalani perjalanan hidup kita sendiri, bukannya orang lain. Suatu kejayaan orang lain mungkin bukan suatu yang kau impikan, begitu juga sebaliknya. Aku dan kau manusia yang sama, namun apa yang kita kejar mungkin berbeza.

Jika kita menghadapi kegagalan, itu bukan bermakna kita kalah sebaliknya kita gagal untuk diri sendiri. Jika kita memperoleh kejayaan, itu bukan bermakna kita menang dan berjaya mengalahkan orang lain, sebaliknya kita telah berjaya mengapai impian kita sendiri.

Dalam sebuah pertandingan, melihat orang lain tersungkur atau kalah itu membuatkan kita menang dan puas. Namun dalam kehidupan, melihat orang lain tersungkur atau gagal itu tidak seharusnya kita gembira, malah kita yang berjaya perlu menarik dan membantu mereka agar bangkit semula dari kegagalan.

Oleh itu usahlah cemburu dan sedih dengan kejayaan orang lain. Jika gagal itu bukan bermakna kita kalah tapi kita belum berjaya. Dan kejayaan itu bukanlah suatu yang murah. Bagi orang kebiasaan seperti kita, ia datang dengan usaha, kerja keras, peluang dan nasib.

Dalam kehidupan, tiada menang atau gagal, yang ada cuma berjaya atau gagal. Dan kejayaan serta kegagalan ini pula, ia boleh datang awal, lambat atau mungkin takkan muncul langsung dalam kehidupan kita.

Namun akhirnya, tiada siapa yang kau harus kejar, tiada siapa yang harus kau kalahkan... melainkan diri sendiri.

Inilah realiti... sebuah kehidupan...

No comments:

Post a Comment